Lelaman ini dicipta khas untuk para pelajar P5/P6 untuk mereka berkongsi pandangan, karangan, jurnal dan juga aktiviti-aktiviti yang diadakan sepanjang 2010/2011. Dengan adanya blog ini, semoga dapat meningkatkan lagi mutu dan minat khususnya dalam pengajaran Bahasa Melayu.

24 May 2011

Mayat ditemui dalam tangki air blok flat






KETENANGAN di sekitar Blok 686B, Woodlands Drive 73, bertukar menjadi kelam- kabut apabila mayat seorang wanita ditemui di blok itu pagi semalam.


Namun apa yang lebih membimbangkan penduduk di blok itu ialah mayat wanita itu ditemui dalam sebuah tangki air yang membekalkan air kepada para penduduk flat dari tingkat empat hingga 15 blok tersebut.


Tangki air berbentuk bulat yang terletak di bumbung blok itu dianggarkan berukuran garis pusat 1.5 meter dan dipercayai terdapat sedikit kesan darah di dalamnya.
Menurut polis, pihaknya menerima panggilan sekitar 10 pagi semalam mengenai penemuan mayat wanita berusia 30 tahun itu.

Wanita itu dipercayai seorang warga Indonesia, berusia 30 tahun, dan bekerja sebagai pembantu rumah kepada keluarga yang tinggal di tingkat enam blok itu.
Ketika mayatnya ditemui, wanita yang berambut panjang itu memakai kemeja-T serta berseluar bermuda.


Pegawai paramedik mengesahkan kematian wanita itu sekitar 1 petang, semalam.
Seorang lelaki warga Bangladesh, berusia 27 tahun, telah pun ditangkap berkaitan kes itu.
Dia dipercayai diberkas di blok tempat kejadian itu berlaku.
Wanita Indonesia itu dipercayai merupakan temanita lelaki Bangladesh yang ditangkap itu.
Menurut seorang penduduk kawasan itu, yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Malik, 42 tahun, beliau melihat polis menggiring seorang lelaki, yang memakai kemeja-T berkolar warna hijau dan berseluar jeans biru, di sekitar kawasan Blok 686B, Woodlands Drive 73 itu tengah hari semalam.


'Daripada apa yang saya lihat, lelaki yang digari itu cedera di kaki kirinya,' ujarnya.
Akibat kejadian itu, bekalan air ke flat dari tingkat empat hingga tingkat 15 di blok itu turut terjejas sejak 11 pagi.


Majlis Bandaran Sembawang telah memberitahu penduduk tentang bekalan air terputus menerusi notis yang diletakkan di kawasan lif dan juga dengan mengedarkannya ke setiap flat.
Tangki air tempat mayat itu dijumpai telah dikosongkan dan dibersihkan petang semalam.
Namun, sehingga 9.30 malam tadi, bekalan air masih terputus.


Menurut Majlis Bandaran Sembawang, ini kerana pihaknya perlu memastikan tangki air itu benar-benar bersih sebelum air dapat dibekalkan semula.

Sekitar 5 petang semalam, sebuah lori agensi air negara, PUB, turut dilihat membawa bekalan air dalam beg-beg plastik untuk diagihkan kepada para penduduk di blok itu.
Seorang wanita yang tinggal di blok itu, yang tidak mahu memberikan namanya, berkata beliau telah menggunakan air daripada paip rumahnya untuk memasak sekitar 8 pagi semalam.
'Saya sudah pun makan makanan yang dimasak menggunakan air dari paip. Saya tidak pasti jika air itu telah dicemari akibat kejadian yang berlaku.


'Saya risau jika ada sebarang kesan sampingan akibat minum air dari paip,' ujarnya, yang seperti penduduk lain, terpaksa mengambil air daripada paip di kolong blok.
Sepasang suami isteri yang tinggal di tingkat lima blok itu berkata, walaupun mereka menerima bekalan air, mereka tidak mahu mengambil sebarang risiko.


'Apabila saya cuba buka paip sebentar tadi, ada air yang mengalir. Tapi saya tidak berani gunakan air itu. Siapa tahu jika air itu sudah dicemari atau tidak,' ujarnya.
Tambah mereka, mereka lebih risaukan tentang ketiadaan bekalan air daripada kejadian pembunuhan yang berlaku itu.


'Sejauh ini, kawasan ini tenang dan aman. Yang lebih kami risaukan adalah kesan akibat minum air yang mungkin telah dicemari,' ujar seorang daripada mereka.



* Murid-murid, tuliskan pandangan anda mengenai laporan di atas.
Salam sejahtera murid-murid ku......

Diam tak diam, masa berlalu begitu pantas sekali. Dah...masuk minggu terakhir. Ujian SA1 pun baru juga berlalu. Alhamdulillah, awak semua lulus dengan cemerlang. Namun, awak harus ingat. Jangan terlalu yakin dan meninggi diri sebab ujian itu cuma dipermudahkan sekadar ingin merangsang awak untuk buat dengan lebih baik lagi pada masa hadapan. Jadi, teruskan berusaha dalam memperbaiki subjek melayu dan yang pasti subjek subjek lain juga. Syabas!

Di dalam ruang komen tersebut tuliskan jika awak telah mencapai matlamat awak atau tidak dan bagaimana awak ingin memperbaiki lagi pelajaran tersebut.

Cikgu Z