Lelaman ini dicipta khas untuk para pelajar P5/P6 untuk mereka berkongsi pandangan, karangan, jurnal dan juga aktiviti-aktiviti yang diadakan sepanjang 2010/2011. Dengan adanya blog ini, semoga dapat meningkatkan lagi mutu dan minat khususnya dalam pengajaran Bahasa Melayu.

22 July 2010

Sambutan Hari Keharmonian Kaum




TANGGAL 21 Julai memang istimewa buat para pelajar sekolah Singapura. Pada hari itu mereka digalakkan berpakaian etnik kaum lain. Pelajar Melayu akan berpakaian tradisional Cina atau India dan begitulah sebaliknya bagi kaum Cina dan India.

Hari istimewa ini merupakan Hari Keharmonian Kaum (Racial Harmony Day). Sambutan besar-besaran akan dianjurkan di setiap sekolah demi memperingati dan menghargai betapa pentingnya memupuk dan mengekalkan keharmonian antara kaum di kalangan rakyat.

Tarikh 21 Julai dipilih kerana pada 21 Julai 1964 tercetus rusuhan kaum yang me ngerikan, yang menggugat keamanan negara Singapura.

Pada program yang dinamakan Kampung Olympics, para pelajar diperkenalkan kepada pelbagai permainan tradisional pelbagai kaum. Seronok bermain lereng?

Aktiviti-aktiviti tersebut bertujuan mengukuhkan keharmonian kaum di sekolah-sekolah dan memperkenalkan budaya melalui permainan tradisional kaum masing-masing.

20 July 2010

Pertunjukan NE




Saya pasti awak semua terhibur dengan pertunjukan tersebut lebih-lebih lagi dengan bunga apinya walaupun tidak berapa jelas, debaran tetap dirasai. Rasa tersentuh juga sewaktu menyanyikan lagu kebangsaan Singapura beramai-ramai. Saya harap awak pelajari sesuatu daripada pertunjukan ini.

15 July 2010

Adakah aku bangga sebagai rakyat Singapura?

Salam sejahtera murid-murid,

Esok, pada 17 Julai ini, awak semua akan ke Pertunjukan NE di Padang. Di sana, kita akan menyaksikan lautan manusia berbaju merah dan putih melambangkan warna bendera Singapura. Saya juga telah mendapat peluang ini untuk bersama awak semua. Tidak sabar rasanya untuk menyaksikan sendiri kemeriahan dan pelbagai pertunjukan yang akan dipersembahkan. Bagaimana pula dengan perasaan awak?

Sebagai rakyat Singapura, adakah awak berasa bangga? Berkongsilah dengan rakan-rakan tentang perkara-perkara yang awak suka atau tidak suka mengenai Singapura dan terangkan sebabnya.

Cikgu Z

06 July 2010

Cerita Rakyat (Folklore)

Wahai murid-murid ku sekalian,

Pada entri yang lalu, kamu telah menyaksikan sedutan animasi daripada cerita Bawang Putih Bawang Merah. Tahukah kamu bahawa Bawang Putih Bawang Merah ialah sebuah cerita rakyat lama yang terkenal di kalangan masyarakat melayu kita?

Ia mengisahkan tentang Bawang Putih yang kehilangan ibu bapa dan terpaksa duduk di bawah jagaan ibu tirinya yang membencinya, begitu juga dengan saudara tirinya "Bawang Merah". Namun akhirnya Bawang Putih berkahwin dengan putera raja dan hidup gembira di dalam Istana.

Bagi tugasan kali ini pula, cuba berikan cerita-cerita rakyat yang lain yang pernah kamu dengar atau baca. Kemudian,tuliskan pandangan awak mengenai cerita tersebut. Jika awak tidak tahu apa itu cerita rakyat, awak boleh pergi ke lelaman wiki
atau google untuk maklumat lebih lanjut.

Cg Z